Listen to Quran
6:46 PM

Sara Bokker – Aku Tinggalkan Bikini Demi Islam

Sara Bokker – Tinggalkan bikini demi Islam

sara-bokker

Sebagai anak Amerika yang lahir di kota besar Amerika Syarikat, aku membesar seperti gadis-gadis lain yang terbiasa dengan kehidupan glamour kota besar. Kemudian aku berpindah ke Florida, di pantai Selatan Miami, sebuah tempat popular untuk mencari kehidupan glamour.

Tentulah ketika itu aku juga melakukan apa-apa yang sering dilakukan oleh gadis-gadis Barat. Aku hanya prihatin pada penampilan fizikal dan daya tarikanku serta mengukur nilai reputasiku berdasarkan banyaknya perhatian orang lain padaku.

Aku berolah raga secara rutin hingga menjadi pelatih peribadi di sebuah perumahan mewah di pinggir laut. Aku menjadi pengunjung setia pantai yang “suka mempamerkan tubuh” serta berjaya mencapai taraf hidup yang penuh bergaya dan ada kelas.

Tahun demi tahun berlalu, kufahami bahawa ukuran nilai kepuasan diri dan kebahagiaanku terletak pada semakin tinggi aku menggunakan daya tarik kewanitaanku. Saat itu, aku benar-benar menjadi hamba fesyen-fesyen terkini. Sesungguhnya aku telah ‘menjadi tawanan’ kepada kehendakku sendiri.

sara_bokker_3

Di celah-celah kekosongan hidup antara kepuasan diri dan gaya hidup yang makin melebar, maka aku mencari perlindungan dengan sebuah pelarian. Aku mengambil arak dan pesta-pesta, mengikuti meditasi, menjadi aktivis, belajar kepercayaan-kepercayaan lain dengan tujuan agar di celah-celah kekosongan itu terisi dengan pelbagai aktiviti.

Namun, akhirnya aku sedar bahawa semua itu bagaikan ubat pelali sahaja, yang mana sakitnya kembali berulang dibandingkan pengubatan yang benar-benar berkesan.

Kemudian berlaku peristiwa 11 September 2001. Sebagai saksi atas serangan berterusan terhadap Islam, pada nilai-nilai dan budaya Islam serta wujudnya pengisytiharan negatif mengenai “Perang Salib Baru”, aku terpanggil untuk mula memerhati satu ajaran bernama Islam.

Ketika itu aku mengaitkan semua yang berbau Islam dengan wanita-wanita yang berbaju seperti “khemah”, tukang pukul isteri, harem dan dunia pengganas.

Sebagai aktivis pembebasan wanita dan seorang yang mahukan dunia yang lebih baik untuk semua, jalanku bertembung dengan jalan aktivis lainnya yang telah memimpin reformasi dan keadilan untuk semua tanpa pilih bulu.

Setelah itu, aku turut bergabung di dalam kempen sahabat-sahabat baruku yang ketika itu, salah satunya adalah reformasi pilihanraya dan hak-hak awam.

Sekarang kegiatan harianku sangat berbeza. Daripada mendukung keadilan secara “berpilih”, aku belajar bahawa yang ideal seperti keadilan, kebebasan dan penghargaan benar-benar bermakna dan bersifat universal.

Untuk pertama kalinya, aku insaf, sesungguhnya semua orang dicipta Allah adalah setaraf. Namun yang paling penting, aku belajar bahawa hanya perlu keyakinan untuk melihat dunia yang satu dan untuk melihat penyatuan dan ciptaan.

Bertemu al-Quran

Suatu hari, aku membelek sebuah buku yang dianggap negatif di Barat, al-Quran yang suci. Baru tadi aku tertarik pada gaya dan pendekatan al-Quran. Kemudian minatku tambah mendalam pada pandangannya tentang kewujudan makhluk, kehidupan, penciptaan dan hubungan antara Pencipta dan ciptaanNya.

Aku rasa al-Quran dapat menjadi sumber pembuka wawasan dan pengetahuan untuk hati dan jiwa tanpa perlu penterjemah atau paderi.

Akhirnya aku sampai kepada masa yang sangat penting yang mengubah kehidupanku seterusnya. Pemahaman aktivis yang baru kurasakan untuk kepuasan diri baru-baru ini, jelas tidak bermakna apa-apa dibandingkan dengan keyakinan yang disebut Islam, yang membawa aku hidup damai sebagai muslim yang bermanfaat.

Bahagia dengan Hijab

Aku membeli sehelai gaun panjang yang cantik dan penutup kepala, mirip gaya pakaian muslimah. Dengannya aku berjalan di jalan dan kawasan tetangga yang sama, yang mana beberapa hari sebelumnya aku masih mengenakan seluar pendek, bikini atau gaya pakaian Barat yang berkelas.

Walaupun masyarakat, wajah dan gedung-gedung semuanya tetap sama, ada satu perkara yang sangat berbeza, kerana untuk pertama kalinya, aku berasa suatu kedamaian yang sangat berbeza berbanding yang dahulu.

Aku merasa seolah-olah semua rantai telah terputus dan akhirnya aku benar-benar merasa bebas. Sangat menyenangkan, kadang-kadang sedikit lucu melihat wajah hairan sesetengah orang terhadap penampilan baruku.

Tiba-tiba sahaja beban itu terangkat dari bahuku. Aku tidak lagi menghabiskan masaku untuk berbelanja, membeli kosmetik, ke salon dan melatih diri untuk penampilanku. Akhirnya aku bebas.

Dari semua tempat itu, aku menemui Islam tepat di pusat dari tempat yang disebut orang sebagai “pusat skandal di bumi”, yang membuatkan semua itu menjadikannya penuh cinta dan istimewa.

Walaupun bahagia dengan hijab, aku menjadi ingin tahu mengenai niqab (purdah/cadar) kerana melihat ramai muslimah yang mengenakannya. Aku bertanya suamiku yang juga muslim, yang menikah denganku setelah aku menjadi muslimah, apakah aku boleh mengenakan niqab atau cukup dengan hijabku sekarang yang sudah kukenakan?

Dengan selamba suamiku mengatakan dia percaya bahawa hijab adalah satu kewajiban, namun tidak dengan niqab. Ketika itu, hijabku terdiri dari penutup kepala yang menutup seluruh rambutku kecuali wajah dan gaun hitam panjang yang longgar. Ia disebut abaya(jubah) yang menutupi tubuh dari leher hingga kaki.

Memakai purdah

Satu setengah tahun berlalu, aku memberitahu suamiku bahawa aku mahu memakai purdah. Alasanku kali ini ialah aku merasa lebih “menyenangkan” Allah Yang Maha Mencipta, dan akan meningkatkan rasa damai dalam diri bila berpakaian lebih tertutup.

Dia menyokong keputusanku dan membawaku membeli “isdaal”, sejenis gaun hitam longgar yang menutup dari kepala hingga kaki dan niqab yang menutup seluruh kepalaku termasuk wajah kecuali mata.

Cabaran Hijab dan Niqab

Tidak lama kemudian, media mula menyiarkan berita tentang ahli politik, pembesar gereja, pendokong kebebasan, aktivis Hak Asasi Manusia (HAM) palsu yang berkali-kali mengkritik pedas tentang hijab, apatah lagi niqab. Bagi orang lain ia kelihatan sangat kejam terhadap wanita. Juga dianggap gangguan dalam pergaulan dan baru-baru ini seorang pegawai Mesir mengatakan bahawa perkara itu sebagai “tanda-tanda kemunduran”.

Aku melihat kenyataan itu sangat munafik . Beberapa pemerintah dan kumpulan pembela HAM palsu yang tergesa-gesa cuba membela hak wanita, sedangkan pemerintah beberapa negara lain memaksa penggunaan peraturan berpakaian tertentu bagi wanita.

Meskipun begitu “Pejuang Kebebasan” memandang dari posisi lain ketika wanita kehilangan hak-haknya untuk berkerja dan belajar hanya kerana memilih menggunakan haknya mengenakan hijab atau niqab.

Namun sekarang, berlaku banyak halangan terhadap wanita yang mengenakan hijab atau niqab untuk keluar berkerja dan mendapatkan pendidikan di sekolah dan universiti. Ia bukan hanya di bawah rejim kuku besi seperti di Tunisia, Morocco dan Mesir tetapi juga di negara-negara demokrasi seperti Perancis, Belanda dan Inggeris.

Memperjuangkan Hak Wanita

Ketika ini, aku masih seorang aktivis wanita, tetapi kali ini sebagai aktivis muslimah, yang menyeru para muslimah untuk mengambil tanggungjawab mereka memberi sokongan setakat mampu kepada suami agar menjadi muslim yang baik, membesarkan anak-anak mereka agar menjadi muslim yang jujur dan bertanggungjawab, sehingga mungkin akan menjadi cahaya kepada kemanusiaan.

Untuk menyebarkan kebaikan dan menjauhkan kejahatan, untuk berbincang tentang kebenaran dan kebajikan serta melawan semua kemungkaran, aku berasa patut memperjuangkan hak-hak kita untuk mengenakan niqan atau hijab demi menyenangkan Yang Maha Mencipta, apapun yang kita pilih.

Penting juga berkongsi pengalaman memakai niqab atau hijab kepada kawan wanita yang mungkin belum pernah berpeluang untuk memahami kenapa perlunya mengenakan niqab atau hijab bagi kita dan rasional kita, sehingga dengan penuh cinta kita memeluknya.

Sebahagian besar wanita yang kuketahui mengenakan niqab adalah muallaf Barat. Sebahagian dari mereka belum menikah. Yang lain mengenakan niqab tanpa sokongan penuh dari keluarga mahupun masyarakat sekelilingnya.

Apa yang kita perlu fahami ialah mengenakan purdah adalah pilihan peribadi dan tidak seorang pun boleh menyerah atas pilihan peribadinya sendiri.

Mahu atau tidak, kaum wanita dihujani dengan gaya “berpakaian minima sehingga tanpa pakaian langsung” secara virtual dalam setiap bentuk komunikasi di manapun di dunia ini.

Sebagai seorang bekas non-muslim, aku menuntut hak-hak wanita untuk sama-sama mengetahui mengenai hijab, kebaikan-kebaikannya, kedamaian dan kebahagiaan yang dibawanya ke dalam kehidupan wanita, seperti yang telah terjadi padaku.

Dulu Bikini, Sekarang Niqabi

Dulu, bikini merupakan lambang kebebasanku, yang hakikatnya membebaskan aku dari aqidahku dan sebagai manusia normal.

Tiada apa-apa yang lebih menggembirakan aku kerana menanggalkan bikiniku di Pantai Selatan dan gaya hidup Barat yang gemerlapan itu untuk hidup damai dengan Penciptaku, serta menikmati hidup di antara teman-teman sesame manusia sebagai peribadi yang layak menerimanya. Hal itu merupakan alasanku untuk memilih memakai niqab dan bersedia mati membela hakku yang tidak mungkin dicabut untuk memakainya. (Allahuakbar!-ummuabbas)

Hari ini, niqab adalah symbol baru pembebasan wanita untuk mengenali siapa dirinya, apa tujuannya dan bagaimana bentuk hubungan yang dipilihnya agar dapat bersama Penciptanya.

Kepada wanita yang bersetuju dengan anggapan salah mengenai hijab, aku boleh berkata: Engkau tidak mengetahui apa yang telah dilaluimu adalah sesuatu yang merugikan dirimu sendiri…

Kepada “penguasa peradaban” yang rasuah dan sentiasa di dalam keadaan rugi, juga kepada para aktivis palsu, aku mahu berkata: Teruskanlah……..

Sara Bokker
USA
-------------------------
[Ditulis oleh Sara Bokker, dahulu seorang aktres/model/pelatih fitness dan seorang aktivis. Saat ini Sara Bokker adalah Direktor Komunikasi di “The March for Justice”, salah seorang pengasas ‘Global Sisters Network” dan Penerbit “Shock and Awe Gallery". Tulisan ini diambil dari situs www.marchforjustice.com. Cerita ini juga pernah dimuat di www.saudigazette.com.sa. Sara bisa dihubungi di srae@marchforjustice.com]
-------------------------


9:16 AM

TAJDID IMAN: Usah Merendah Nilai Islam Melakukan Jenayah Ilmu

Tajdid Iman: Usah merendah nilai Islam melakukan jenayah ilmu

Oleh Dr Juanda Jaya


BELAJAR dengan bimbingan pakar atau guru adalah cara terbaik untuk menambah ilmu. - Gambar hiasan

Al-Quran tetap benar tanpa perlu teori manusia serba lemah yang pasti belum berakhir 

SAAT ini ramai manusia mengalami tekanan akibat kekejaman dunia, amukan tsunami ekonomi dan politik kucar kacir yang menjadikan kehidupan semakin susah. Kesan putus asa terhadap keadaan ini menyebabkan mereka tercari-cari agama untuk mendapatkan ketenangan. 

Maka muncullah ajaran baru berjenamakan Islam moden bagi menyediakan khidmat menyejuk hati manusia yang tertekan ini. Daripada yang berharga murah meriah, hingga beribu gebu untuk satu pakej bimbingan mencari 'ketenangan jiwa', dengan kepelbagaian teknik profesional dan mempesona, daripada berjubah hingga bertali leher, secara tradisional kuno hingga menggunakan khidmat teknologi maklumat terkini serta canggih. 
ULASAN SAYA: Memang ramai teruja dengan pakej 'ketenangan jiwa' yang pelbagai di pasaran. Tapi mereka lupa sumber sebenar ketenangan jiwa ialah kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah. Galilah al-Quran, pelajari dan amalkanlah Sunnah, pasti ketenangan yang dicari itu ditemui, tanpa perlu meleburkan beribu, hanya luangkan masa yang diperlu, menadah ilmu dari sumber wahyu.

Pendekatan hipnosis ala karismatik Kristian Evangelical digunakan bagi menghipnosis, mengkhayalkan dan mempesona 'pengikut' dengan lantunan zikir yang ada kala membelai jiwa serta diiringi muzik klasik syahdu menusuk jiwa.


Ada pula yang ganas seolah-olah merempit, berpusing-pusing sambil menari, memukul dada dengan iringan 'alat muzik rock' sambil bernasyid memuja syeikh didakwa boleh menyinarkan lampu cahaya Allah SWT di hati mereka. 


Muncul pula ajaran songsang yang mempercayai sudah muncul nabi baru membawa 'wahyu' hasil bisikan hatinya, yang kononnya boleh memberi kekayaan dan berkat bagi sesiapa mengikutnya. 

Ada pula mengamalkan meditasi umpama yoga Hindu, disulami zikir hasil ciptaan 'nabi baru' yang sama sekali tidak pernah diajarkan Nabi terakhir, Muhammad SAW. Ada cuba mempercayai 'keberkatan' nombor tertentu, sebelum membina bangunan dan melakukan pekerjaan dan urusan.

Sedangkan Rasulullah SAW menyuruh umatnya mengkaji tafsiran al-Quran sebagai wahyu panduan, tetapi mereka pula menyesatkan umat dengan mengkaji nombor pelik terdapat dalam al-Quran. Gurunya amat terlatih menggoda, mesra 'alam' terlampau dan pandai mengambil hati. 

Walaupun tanpa kelulusan diiktiraf mana-mana institusi agama tersohor, atau mungkin hanya bersahabat dengan ulama kontroversi pegangan agamanya, lantas ahli ekonomi dan pakar psikologi ini berani menceroboh dan bercakap mengenai akidah Islam serta tauhid yang murni. 

Mereka menafsir nama dan sifat Allah SWT mengikut 'suara hati', padahal latar belakang pendidikannya mendatangkan keraguan terhadap tafsiran Islam mereka. Yang pasti, ia dibuat sesuka hati, sesuai pakej jualan agama baru mereka. 

Akhirnya murid berasa cukup dengan mendengar suara hati dan tak perlu melalui kepayahan mujahadah menuntut ilmu. Usaha mengkaji al-Quran dan kitab hadis pun akhirnya tidak penting lagi dan ditolak.

Apa yang disampaikan itu sebenarnya suatu bentuk candu yang mendatangkan nikmat high and fly dan meresap ke dalam hati, mereka tidak perlu menulis, membaca dan mengkaji, hanya memadai mendengar suara hati. 

Aneh dan sungguh hebat dakwaan palsu ini. Nabi yang dapat wahyu terus dari langit pun tidak dapat kemampuan sebegini. Sedangkan Baginda sepatutnya lebih layak tahu rahsia penciptaan manusia melalui dokongan wahyu langit, malangnya Allah SWT kekal menjadikan rahsia itu tidak akan disingkap untuk sesiapa. 

Oleh itu apakah benar jika hanya dengan mendengar suara hati saja manusia boleh menghayati Islam. Adakah itu ilmu yang diwariskan Nabi SAW? Padahal sahabat Baginda SAW dan golongan salafus salih bersabar mencari ilmu melalui bacaan dan tadabbur ribuan ayat al-Quran dan jutaan hadis yang mesti dikaji, dihayati dan diamalkan. 

Bukan kerana mereka tiada aktiviti lain selain bersama Rasulullah SAW dalam majlis ilmu, bahkan mereka adalah pejuang dan tentera yang tangkas, boleh diarah berperang serta-merta jika dikehendaki untuk memerdekakan Islam di belahan dunia lain. 

Mereka juga adalah peladang dan petani yang memiliki ladang kurma yang luas, mereka juga adalah usahawan dan hartawan berniaga sampai ke luar negara mengambil masa berbulan-bulan. 

Sesungguhnya Rasulullah SAW menegaskan bahawa Baginda SAW hanya mewarisi ilmu. Dan ilmu itu hanya ada pada ulama yang berautoriti. Jika seseorang hendak belajar ilmu perubatan, apakah relevan jika dia berguru kepada pakar ekonomi yang jahil ilmu perubatan? Bukankah pelik? 
ULASAN SAYA: Bukan setakat pelik, malah ajaib. Bila di ajak ke majlis ilmu, hanya dibalas dengan senyuman, dibiarkan sahaja bagai angin yang berlalu. Merasa cukup dengan dengan ilmu yang dipelajari di sekolah dahulu. Mana mungkin perubahan yang berlaku selaras dengan kehendak agama jika tanpa ilmu yang benar dan sahih!

Tetapi masa kini, manusia tidak berasa pelik jika belajar akidah dan tauhid daripada seorang guru zikir, pakar motivasi atau seorang guru ekonomi. Janganlah merendahkan nilai Islam dengan melakukan jenayah sebegini. Ilmu Islam itu tinggi, mulia lagi bersyarat dan ada disiplin yang ketat bagi sesiapa yang mahu mengajar dan belajar. 

Janganlah mempergunakan Islam untuk kepentingan dunia. Masih banyak lagi barang lain yang halal lagi bersih boleh dijual, jangan jual jenama Islam untuk melariskan produk. Itu perbuatan haram yang berat namanya. 

Usaha untuk mengislamkan apa-apa saja produk tidak bermakna seseorang sudah bersih daripada fahaman sekular, seolah-olah mereka bangga dengan slogan jangan pisahkan Islam daripada ekonomi, politik, sains dan segala urusan dunia. 

Padahal sebenarnya mereka boleh jadi tanpa sengaja atau memang sengaja mencampurkan yang hak dengan batil, nilai bukan Islam dicampur dengan Islam dan diberi jenama baru semata-mata untuk kepentingan tertentu. Islam yang asli dan bersih hanyalah Islam mengikut al-Quran dan al-Sunnah dalam bentuk serta caranya. 

Jika bermaksud hendak mengkaji ilmu politik, sains, fizik, biologi, psikologi, pengurusan atau ekonomi dalam al-Quran, jangan sesekali memaksa idea dan hasil kajian itu kononnya setaraf nilai al-Quran kerana ia boleh mencemarkan kesucian wahyu al-Quran. 

Lebih-lebih lagi jika kajian ilmu manusia dikaitkan terus dengan akidah. Ulama al-Azhar pernah menolak fahaman yang menyatakan kajian sains sudah membuktikan kebenaran al-Quran hasil pencarian seorang saintis Perancis, Maurice Bucchaiel. 

Apakah al-Quran perlu kepada pembuktian sains? Sedangkan al-Quran itu wajib diimani walaupun tanpa pembuktian sains kerana ia wahyu Allah SWT yang maksum daripada kesilapan. Ilmu hasil pemikiran manusia tidak akan setanding dengan al-Quran, kerana manusia hanya menggunakan akal terbatas. 

Bagaimana jika hasil penemuan mereka didapati tidak relevan lagi pada masa akan datang, apakah mereka akan mengatakan al-Quran juga tidak relevan lagi? Ada mendakwa ilmu sains saudara kembar al-Quran mengapa ilmu hasil pemikiran akal manusia yang kerdil boleh berkembar dengan wahyu Allah yang tidak akan tercapai seluruh akal makhluk pun? 

Bukankah sains bersifat subjektif, berubah-ubah dan sementara bahkan dapat dipatahkan oleh hipotesis baru, sedangkan al-Quran bersifat benar, mutlak dan tuntas, tidak ada perubahan padanya. Walaupun tanpa teori Big Bang dan God Spot, al-Quran tetap benar dan tidak perlukan sokongan teori manusia yang lemah. Boleh jadi teori itu belum berakhir lagi, masih akan ada penemuan baru yang akan menguatkan ataupun malah menafikan teori lama. 

Jadi, jangan kembarkan al-Quran dengan apa saja, apatah lagi ilmu orang kafir, atheis, liberalis, pluralis dan jangan cuba menyedut ilmu yang tidak bersumber daripada al-Quran dan al-Sunnah untuk membincangkan perkara akidah. 

Tidak ada masalah jika mahu mentafsir ilmu psikologi atau pengurusan dan ekonomi berlandaskan asas Islam tetapi rujuklah kepada al-Quran yang ditafsir al-Quran sendiri dan hadis sahih. Jangan sewenang-wenang mengambil ayat al-Quran untuk membela idea yang direka cipta kemudian ayat itu dipaksa dan dikembarkan pula dengan tafsiran sarjana kafir dari Barat. 

Sama seperti usaha menyampaikan Islam oleh segelintir hamba Allah SWT dalam kursus motivasi kepemimpinan yang anehnya tidak mengaku sebagai organisasi atau badan dakwah Islam padahal mereka sesuka hati mengeksploitasi al-Quran kononnya memberi pencerahan jiwa pesertanya. 

Bahkan sampai ke tahap berani mentafsirkan manusia berasal daripada cahaya Allah SWT: "Jadilah cahaya yang menyinari siapa pun tanpa pilih kasih, kerana engkau tercipta dari cahaya di atas cahaya." Ayat ini memang indah dan mengagumkan sesiapa mendengar. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tidak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca dan kaca itu seakan-akan bintang yang bercahaya seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkat, iaitu pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat, yang minyaknya saja hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu." 

Siapakah yang dicipta dari cahaya di atas cahaya? Bukankah manusia asalnya hanya dicipta dari tanah dan kemudiannya air mani, manakala roh pula ciptaan Allah SWT? Al-Quran mencurahkan semua bahawa roh adalah rahsia Allah SWT, tidak akan disingkap untuk sesiapa hakikatnya. 

Jangan disoal hal itu, apatah lagi mahu menafsir akhlak manusia berasal daripada sifat Allah Yang Maha Tinggi. Tidak pernah disebut melalui lisan Nabi-Nya perkara itu. Hanya Allah SWT berada pada cahaya di atas cahaya. Jika mahu menyamakan manusia dengan sifat dan zat Allah, walau tanpa sengaja, maka sudah tentu tidak wajar kita membela fahaman sebegini. 

10:11 AM

ADAB: Syaikh al-Albani kepada Syaikh Ibn Baaz: La', La', anta Syaikhuna!



Dari youtube, kuliah Syaikh Muhammad Hassan [bahasa ammi]...


Satu cerita yang menarik yang diceritakan oleh Syaikh Muhammad Hassan dalam kuliah ni. 

Kata syaikh Muhammad Hassan, dia bercerita [ringkasan ja la... detail kena tengok video la ek, tak larat nak terjemah semua]: 

''pertemuan ni semasa haji, specifik lagi di Mina... ketiga-tiga syaikh iaitu Syaikh al-Albani, Syaikh Ibn Baaz, Syaikh Ibn Uthaimin [rahimakumullah]... ketua perhimpunan [ameer al-Jalsah] adalah Syaikh Ibn Baaz.

Apabila adanya 3 syaikh ni, sudah pasti para penuntut ilmu akan mengambil peluang bertanya kepada mereka bertiga... apabila soalan berkaitan Aqidah, maka Syaikh Ibn Baaz akan menjawab sendiri, apabila soalan berkaitan fiqh beliau akan beri kepada Syaikh Ibn Uthaimin, dan apabila berkaitan hadis, maka soalan itu diberi kepada Syaikh al-Albani...

Kami [kata Syaikh Muhammad Hassan] hanya duduk dan mengambil manfaat daripada sesi itu, dan kami menunggu waktu Duhr [ammi untuk zohor] dan kami berfikir siapakah yang akan menjadi imam solat Dzuhr dgn adanya 3 orang Syaikh ni bersama...

Kemudian, apabila kami semua bangun utk solat...

Kata Syaikh Ibn Baaz kepada Syaikh al-Albani: ''Wahai, Abu Abd Rahman [Syaikh al-Albani], pergi la ke depan dan jadilah imam kami [taqaddam ya Aba Abd Rahman, solli bina, anta syaikhuna]''

Syaikh al-Albani menjawab: ''tidak! tidak! tidak! kamu lah syaikh kami [la', la' la' anta syaikhuna]

Syaikh Ibn Baaz menjawab: ''Kita semua sama dalam Quran [maknanya kita bertiga hafal Quran/tahap bacaan kita sama] dan kamu adalah yg paling berpengetahuan dalam hadis Nabi SAW antara kita, jadi pergilah ke depan [kulluna fi Quraani sawaa, wa anta 'alimuna bi hadeeth rasulillah, taqaddam ya Aba Abd Rahman...]

Syaikh al-Albani menyahut kata-kata Syaikh Ibn Baaz dan pergi ke depan untuk menjadi imam, dan tiba-tiba beliau tengok kembali pada Syaikh Ibn Baaz dan bertanya: ''Wahai syaikh kami, kamu nak aku bersolat sebagaimana Nabi SAW solat? atau hendak aku bersahaja.. [tak berapa jelas sangat ammi dia time part ni, minta sesiapa yang lain tolong terjemah kalau-kalau ana silap]

Kemudian jawab Syaikh Ibn Baaz: ''Imamkan kami dengan solat Rasul, ajarkan kami wahai syaikh...'' [solli bina solata Rasulillah, 'allim-na syaikh...]

Tengok kata-kata Syaikh Ibn Baaz dengan penuh ilmu yang dia ada, dengan tawaddu'nya berkata kepada Syaikh al-Albani: ''Ajarkan kami wahai syaikh ['allim na syaikh]... dan juga kata-kata Syaikh al-Albani dengan penuh ilmu yang dia ada, dengan tawaddu'nya berkata: ''Tidak! Tidak! Kamu syaikh kami''

selamat menonton!! 

CREDIT TO DOC FATHI
panel hadith AFN

4:36 PM

WAWANCARA: HARAKAH BERSAMA DR ASRI


"PAS juga kena berhati-hati. Penyakit yang ada di tubuh Umno hari ini tidak mustahil akan merebak ke tubuh PAS apabila berkuasa. 'Kuasa dan harta' bukan sedikit ujiannya." 

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Hrkh) -
Suaranya vokal dan adakalanya kontroversi namun ramai yang 'merindui' pendapatnya yang berpaksikan tafsiran agama dan tidak bias kepada mana-mana pihak. Penolong Pengarang Harakahdaily AZAMIN AMIN sekali lagi mendapatkan pandangan kritis bekas Mufti Perlis Dr. Asri Zainul Abdin yang kini berada di Lampeter, United Kongdom. Beliau sedang menjalankan kajian atas perbandingan tafsiran hadis antara kelompok tradisi dan modernis serta dalam cuti sabatikal yang diberikan oleh Universiti Sains Malaysia. 

Harakah: Mengapa Dr. lebih awal meletakkan jawatan sebagai Mufti dan tidak berhasrat menyambung semula? Inikah yang dinamakan berundur sebelum berjuang? Boleh beritahu sebab letak jawatan sebenarnya?  

Dr Asri: Ya! Ratusan email, sms dan berbagai yang dihantar kepada saya menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan saya meninggalkan jawatan mufti. Mereka berpendapat saya membuat keputusan yang tidak tepat. Alhamdulillah, saya berterima kasih atas keprihatinan mereka.  

Saya bertawakkal kepada Allah atas segala perancangan. Sekarang ini pun banyak email yang dihantar menjemput saya pulang dengan ditawarkan berbagai-bagai urusan atau 'tanggungjawab'. Biarlah dulu saya di sini.  

Saya tidak jadi mufti untuk mengaut kesenangan. Alhamdulillah, sama sekali tidak. Saya serahkan urusan jiwa ini kepada Allah. Saya hanya ingin menjadikan jawatan itu sebagai medan tanggungjawab dan menyampaikan mesej Islam yang saya fahami. Saya berdoa kepada Allah sebelum menjadi mufti agar diberikan pertolongan kepada saya.  

Alhamdulillah, walaupun ada yang tidak bersetuju dengan saya, tetapi dalam tempoh tersebut pandangan dan isu yang saya lontar telah menjadi bahan perbincangan ilmu dalam masyarakat. Soal pro dan kontra itu perkara biasa. Jika perkara itu tiada pro dan kontra bererti tiada siapa yang mengambil peduli mengenainya. Banyak bahan telah saya tulis dalam tempoh tersebut dan tersebar dengan begitu luas. Begitu juga ceramah, kertas kerja, wawancara saya di sana-sini menjadi bahan yang diperbincangkan dengan meluas.  

Alhamdulillah, generasi muda dan lapisan terpelajar yang suka membaca sebelum membuat penilaian, yang tidak menjadikan maki-hamun sebagai landasan hidup, yang tidak mengulas sebelum mengetahui, mereka ini begitu ramai yang memberikan sokongan yang besar kepada saya.  

Dalam politik juga saya rasa, alhamdulillah, akhirnya banyak pihak akur bahawa saya tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam memberikan pandangan. Saya beberapa kali dijemput oleh Kerajaan Kelantan. Kali terakhir sebelum saya berhenti, saya sempat hadir jemputan ceramah Kerajaan Negeri Kelantan untuk Tabung Serambi Mekah yang di lancarkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sehari kemudian, saya dijemput oleh Perdana Menteri untuk memberikan ceramah khas kepada ahli kabinet dan Majlis Tertinggi Umno dan hadirin yang hadir.  

Beberapa hari kemudian saya dijemput oleh Pemuda Parti Keadilan untuk memberikan tazkirah, tapi saya tidak sempat. Semasa saya sampai ke United Kingdom, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menjemput saya memberikan ucapan dalam Majlis DAP. Cuma saya tidak dapat pulang.  

Saya berharap saya sudah cuba melakukan sesuatu. Saya cuba mengemukakan 'politik idea' mengatasi sempadan politik kepartian. Apa yang menjadi matlamat bukan menegakkan parti tertentu, tetapi menegakkan fikrah Islamiyyah yang lebih besar dari kesempitan parti.  

Alhamdulillah, jumlah pembaca artikel saya juga begitu besar. Melalui ruangan saya dalam Minda Mufti, saya bersahabat baik dengan berbagai insan ternama. Saya rasa banyak mesej saya telah sampai. Saya memerah tenaga dalam tempoh dua tahun. Bersabar atas kerenah mereka yang suka memfitnah atau mengganggu perjalanan tersebut. Saya harap Allah berikan pahala atas itu semua. Harakah sendiri pada awalnya begitu prajudis, tetapi setahun tahun sebelum saya berhenti, kelihatannya positif.  

Akhirnya, apabila saya rasa ruang jawatan itu 'sudah mula sempit' atau sudah memadai, maka saya beristikharah untuk berhenti. Itupun baik juga. Ia menafikan fitnah mereka yang 'tidak sayang lidah mereka di akhirat' bahawa kenyataan atau pendapat saya selama ini untuk kesinambungan jawatan. Alhamdulillah, sama sekali tidak. Semoga Allah merezekikan kita semua melihat jawatan dan kedudukan dengan penuh rasa amanah dan gerun.  

Dr. dilihat sangat vokal dan adakalanya 'mempersembahkan' pemikiran agama dari sudut yang berbeza, adakah mencari kelainan serta seringkali mentafsirkan hukum agama dari sudut yang berbeza dan adakalanya tidak pernah didengari umum seperti soal-soal bidaah seperti kenduri arwah, tahlil di kubur dan dikatakan tidak mengikut tradisi yang telah dilakukan oleh nenek moyang? Adakah mereka tidak betul sebelum itu? Malah Dr. dilabel sebagai liberal, kaum muda dan wahabi dan sebagainya lantaran pembaharuan yang dibawa?  

Inilah masalah sesetengah pihak. Mereka tidak dapat menerima orang lain berbeza pendapat dengan mereka. Melabel orang tanpa asas yang jelas adalah budaya buruk.  

Dahulu masa Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebelum menjadi Menteri Besar pun terkena tohmahan yang sama ketika beliau melontarkan beberapa pandangan yang berbeza dengan pengajian biasa di pondok-pondok. Syeikh Abu Bakar al-Baqir dari Gunung Semanggol yang mengasaskan Hizbul Muslimin semasa hayatnya dituduh sebagai kaum muda dan sesat. Prof. Burhanudin al-Helmi juga pernah dituduh sebagai kaum muda. Demikian Sayyid Syeikh al-Hadi, Za'ba dan berbagai lagi pejuang perubahan dituduh dengan tuduhan yang sama.  

Saya teringatkan kata-kata Za'ba dalam bukunya "Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri" yang Prof DiRaja Ungku Aziz kirimkan kepada saya agar saya baca.  

Antara katanya: "Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu - iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang - maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti "sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu" dan berbagai-bagai lagi.  

Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat?. Demikian kata Za'ba.  

Apabila saya menjadi mufti sesetengah pihak menunggu agar saya membangkitkan isu-isu tradisi melayu seperti kenduri arwah dan seumpamanya. Namun mereka tersilap, alhamdulillah perhitungan dan fokus pemikiran Islam saya merentasi kesempitan isu yang mereka tunggu bagaikan nak 'kiamat' itu. Ada anda lihat isu kenduri arwah menjadi tajuk utama akhbar dalam senarai puluhan isu yang telah saya bangkitkan.  

Maksudnya kenduri arwah itu sudah lama dilarang?  

Kemudian, saya ingin bertanya, apakah jika seseorang tidak mahu kenduri arwah maka dia menjadi wahabi? Kitab al-Fiqh al-Manhaji 'ala Mazhab al-Imam al-Syafi'i tulisan tokoh-tokoh semasa mazhab al-Imam al-Syafi'i, iaitu al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan 'Ali al-Syarbaji. Namun apabila saya baca antara apa yang disebut dalam kitab tersebut:  

"Daripada bid'ah apa yang dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya?.  

Apakah semua penulis itu wahabi?!!. Jika kita tengok kitab-kitab melayu jawi kita dapati perkara yang sama. Kata Syeikh Daud al-Fatani (semoga Allah merahmatinya) dalam Bughyah al-Talab: "(dan makruh) lagi bid'ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid'ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya."  

Demikian juga kenyataan dibuat oleh al-Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin. Begitu juga al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi menyebut: "Maka bid'ah yang tidak elok." Apakah mereka semua juga wahabi?!!.  

Saya tidak tahu apa itu wahabi melainkan setelah mereka menyebut perkataan tersebut lalu saya terpaksa mencari maksudnya. Saya bukan penggemar buku Muhammad bin 'Abdul Wahhab. Tetapi, jika anda menuduh saya amat terpengaruh dengan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, itu mungkin benar.  

Saya seperti yang Dr. Yusuf al-Qaradawi sebut tentang dirinya dalam buku Kaifa Nata`amul ma`a al-Sunnah, kata Dr al-Qaradawi: "Al-Imam Ibn Taimiyyah ialah daripada kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling hatiku sayangi di kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku".  

Saya rasa, saya pun demikian. Namun, alhamdulillah, saya tidak fanatik Ibn Taimiyyah seperti mereka yang fanatik mazhab. Seperti kata al-Imam Malik bin Anas:" Setiap orang boleh diterima dan ditolak pendapatnya, melainkan Nabi Muhammad s.a.w yang maksum?.  

Mengapa lagu Dr. bertajuk "Aku Bukan Musuh Harta" yang dimuatkan di dalam album Yang Benar Tetap Benar nyanyian Kopratasa, Aishah dan kumpulan baru Algebra diharamkan oleh RTM? 

Sebenarnya banyak pihak tersalah faham. Album tersebut bukan terbitan saya. Pihak penerbit mengambil puisi-puisi saya dengan keizinan dan dijadikan lagu. Itu sahaja. Mereka jemput saya baca dua puisi dalam album tersebut. Lagu 'Aku Bukan Musuh Harta' adalah salah satu daripada puisi saya. Saya tidak berkempen untuk saudara membeli album itu, kerana bukan semua orang setuju dan suka dengar lagu.  

Cuma saya pun hairan jika lirik itu menjadi ketakutan kepada RTM. Barangkali mereka takut ramai yang terasa pedas. Saya hairan, jika benar mereka ingin membantu memerangi rasuah, biarlah lirik itu dilagukan. Entah berapa banyak lirik yang merepek boleh dibenarkan. Saya teringat kata-kata Presiden PAS Almarhum Ustaz Fadhil Noor yang kebetulan agak baik dengan saya. Katanya: "Orang kalau salah, dia tengok polis nak balik rumah pun dia takut."  

Kemenangan Pakatan Rakyat di Permatang Pauh oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim dan di Kuala Terengganu oleh Abdul Wahid Endut daripada PAS baru-baru, bagaimana Dr sendiri tafsirkan dan 'signal' apa sebenarnya daripada rakyat ?  

Maaf, saya tidak merasa bahawa itu menunjukkan atau bererti majoriti rakyat telah begitu selesa dengan pakatan pembangkang. Kita tahu bukan semua orang PAS selesa dengan KeADILan. Demikian sebaliknya. Demikian juga DAP yang menolak konsep Negara Islam PAS. 

Apa yang jelas bagi saya adalah rakyat muak dengan Umno. Rakyat sudah tidak tahan dengan kerenah, perangai dan gelagat kebanyakan orang Umno. Generasi muda terutamanya, kelihatan begitu 'allergic' dengan Umno. Berdasarkan pengalaman lepas, tiada lagi gambaran indah Umno dalam fikiran mereka.  

Mereka melihat Umno hanya menjaga kepentingan kelompok. Ramai yang bongkak dan sombong. Kebelakangan ini baru nampak macam nak berubah sedikit. Itupun masih tidak cukup. Baru-baru ini, kebetulan saya 'terjumpa' seorang menteri di London, saya bertanya dia tentang pilihanraya Kuala Terengganu. Dengan lagaknya dia berkata: "Apa lagi rakyat mahu, semua kita dah beri". Tengok, masih lagi sombong dan enggan menilai diri dan parti walaupun telah berulang kali dia ajar oleh rakyat.  

Saya fikir Umno tahu apakah ubat yang menyembuhkan penyakit parti itu, tetapi mereka tidak mampu lakukan. Ubatnya adalah dengan memotong atau membuang segala barah penyakit yang hidup dalam tubuh Umno. Itu terlalu sukar bagi kepimpinan Umno kerana sebahagian yang tidak kecil dalam kepimpinan itu sendirilah barah penyakit tersebut. Jika rawatan dilakukan, bererti mereka akan terkorban.  

Bagaimana pula pandangan Dr. terhadap PAS ?  

PAS juga kena berhati-hati. Penyakit yang ada di tubuh Umno hari ini tidak mustahil akan merebak ke tubuh PAS apabila berkuasa.'Kuasa dan harta' bukan sedikit ujiannya. Kita semua jangan cakap besar dan takabur. Hari ini kuasa dan ruang mendapatkan harta masih sedikit, maka barah pun masih kecil. Barah itu ada potensi berkembang apabila ruang harta dan kuasa membesar. Hati-hati, banyakkan doa dan pohon perlindungan dengan Allah. Jangan cuma runtuhkan jahiliah, lalu tegakkan jahiliah baru dengan nama yang baru. Jahiliah tetap jahiliah.  

Adapun KeADILan, maaf saya masih kabur untuk membezakan sebahagaian mereka dengan Umno. Jika dilihat pada gelagat, gaya bahasa dan hidup, cara fikir, saya agak ramai di kalangan mereka masih Umno, cumanya tidak berpuas hati dengan Umno atas beberapa sebab semasa, bukan prinsip. Tidak mustahil bila-bila waktu mendesak mereka akan kembali menjadi Umno. Mungkin bukan semua, tetapi ramai juga yang begitu.  

Saya suka jika kita berpegang kepada prinsip. Saya setuju dengan apa yang Naib Presiden PAS Mohammad Sabu pernah kata dalam satu temubual yang saya baca. Beliau hairan mengapa PAS dapat menerima 'lompat parti' apabila KeaDILan menguar-uarkan 16 September lepas, sedangkan dahulu PAS sendiri yang mengatakan 'lompat parti' adalah tidak berprinsip dan khianat.  

Hari ini berlaku 'lompat parti' di Perak, sekali lagi PAS menyatakan ini pengkhianatan dan tidak berprinsip. Mengapa PAS tidak mengatakan hal yang sama pada 16 September yang lepas. Maaf, saya tidak mahu terbabit dengan kerenah politik. Marilah kita pohon agar Allah menjadikan kita sentiasa beristiqamah atas kebenaran terhadap kawan ataupun lawan. Itulah Islam yang sejagat lagi adil, jika kita ingin tegakkan.  

Ada yang mengatakan institusi Mufti ini 'beku' dan tidak lantang dalam mempersoalkan kelemahan kerajaan, benarkah begitu dan pernah Dr. sendiri mengkritik kerajaan khususnya melibatkan persoalan agama? Ada contoh?  

Saya tidak mahu bercakap tentang institusi mufti lagi. Sudah banyak kali saya cakap. Cukup saya katakan saya kecewa, Majlis Fatwa Kebangsaan patut mengepalai isu-isu umat Islam, seperti fatwa tentang isu Palestin. Anda boleh baca tulisan-tulisan saya yang mengkritik fungsi mufti dan majlis fatwa. Sehingga saya terfikir negara ini perlukan Majlis Fatwa yang bebas, dibiayai oleh institusi wakaf. Maka fatwa-fatwa itu nanti akan benar-benar mewakili umat. Jika anda lihat di Indonesia, Majlis Ulama Indonesia (MUI) hampir mendekati maksud ini.  

Adapun saya, kepada Allah saya serahkan segalanya. Anda tahu semasa saya menjadi mufti, saya memberikan teguran kepada semua pihak, termasuk kerajaan, pembangkang, artis, pihak swasta dan lain-lain. Anda boleh lihat berbagai isu saban minggu semasa saya menjadi mufti. Pernah saya mengkritik upacara yang dilakukan di Tugu Kebangsaan oleh kepimpinan negara.  

Dari sudut politik, apakah yang boleh Dr. nasihatkan kepada pejuang-pejuang agama agar tidak lari dari daripada asas agama selain parti pemerintah agar berubah demi kepentingan rakyat? 

Saya ingin nasihat diri saya dan mereka yang menyatakan berjuang untuk Islam dengan nasihat yang pernah diberikan oleh al-Syeikh Maulana Abul Hasan 'Ali al-Nadwi dalam risalahnya Uridu an atahaddatha ila al-Ikhwan (Aku Ingin Berbicara Dengan Al-Ikhwan al-Muslimin). Beliau pernah nasihati Jamaah al-Ikhwan al-Muslimin dengan nasihat ini:-  

"Wahai Ikhwan Muslimin yang mulia! Sasaran dakwah al-din dan tajdid Islami (pembaharuan Islam) itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata. Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain. Tidak untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu, atau menghadapi buta huruf dan kejahilan, atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti yang diperjuangkan oleh para pejuang perubahan di Barat dan Timur."  

Sebaliknya, ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah juga keperibadian diri dan masyarakat. Ia meliputi akal dan jiwa, ruh dan jasad. Ia bergantung kepada perubahan mendalam dalam hati dan jiwa, akidah dan akal. Ia terpancar dari hati sanubari sebelum terbit dari pena, atau helaian buku, atau mimbar syarahan. Ia terlaksana dalam tubuh pendakwah dan kehidupannya sebelum dia menuntut dilaksanakan dalam masyarakat keseluruhannya?  

Istimewanya dakwah dan kesungguhan para nabi adalah ketulusan mereka dari memikiran kepentingan kebendaan, hasil yang segera. Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredhaan Allah. Melaksanakan perintahNya dan menunaikan risalahNya. Akal dan pemikiran mereka tulus dari amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperolehi kerajaan. Bahkan itu semua tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka.  


... maknanya tujuan tubuhkan kerajaan demi capai matlamat agama?

"Adapun kerajaan yang tertegak untuk mereka pada waktu mereka dan kekuatan yang diperolehi pada masa itu hanyalah hadiah daripada Allah. Ia sebagai jalan untuk sampai kepada matlamat agama, melaksanakan hukum-hakamnya, mengubah masyarakat dan mengarahkan kehidupan?  

Kata Abul Hasan lagi: "Bukanlah sama sekali kerajaan yang diperolehi itu salah satu dari matlamat mereka. Bukan jua salah satu dari tujuan mereka. Tidak jua dari tajuk perbicaraan mereka, atau salah satu dari mimpi mereka. Hanya ia adalah hasil semulajadi untuk dakwah dan jihad. Sama seperti buah yang merupakan hasil semulajadi dari kesuburan pokok dan kesungguhan pembajaannya..".  

Katanya juga: "Wahai tuan-tuan! Besarnya perbezaan antara matlamat yang dituju, dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka, yang bertujuan mendapatkan kerajaan, akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehinya, atau hilang harapan mendapatkannya. Dia akan berhenti dari dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya. Bahaya bagi setiap jamaah yang pemikiran mereka dibentuk atas cinta (mendapatkan) kerajaan (kuasa) dan berkerja untuk itu. Kerana ia akan menyebabkan mereka meninggalkan jihad di jalan dakwah atau boleh terpaling dan terseleweng tujuan mereka.  

Sebabnya, uslub (cara) untuk mendapatkan kerajaan berbeza dengan uslub dakwah. Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa kita, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara muslim, mengeluarkan manusia -dengan izin Allah- dari segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliyah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya.  

Dari kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya. Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah Allah dan kemenangan pada Hari Akhirat. Juga kerana apa yang Allah sediakan untuk hamba-hambaNya dari ganjaran dan pahala. Kemudian, faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kesian kasih kepada insan yang tersiksa, dan keinginan terhadap keselamatan manusia.  

Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa -setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah - tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha untuk mendapatkannya.  

Demi kemaslahatan dakwah. Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, kusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, juga ibadah-ibadah yang lain. Tiada beza bagi seorang mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya.  

Kesemua itu dalam redha Allah, kesemuanya pada jalan Allah. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah. Itu sebahagian nasihatnya.  

Nasihat saya, semoga jiwa saya dan saudara semua, sama seperti yang dinasihati oleh tokoh yang besar ini. Kita membawa mesej dakwah Islam yang kudus. Jangan kita berpolitik sehingga kita terlupa siapa kita? Apakah matlamat kita? Selalu kita bertanya apakah tindakan kita, jika baginda s.a.w hadir melihatnya, maka baginda akan setuju dan menyokong kita? - azm

11:14 PM

BILA LELAKI MENJADI DAYUS

Sesuatu yang berlaku di pejabat semalam, membuatkan aku berasa marah. Kenapa aku marah? Apa yang berlaku? Biarlah ianya menjadi rahsia. Peristiwa itu membuatkan aku mencari-cari bahan berkaitan, dan aku teringat UZAR pernah menulis tentangnya. Dan inilah dia artikelnya, semoga semua yang berhasrat menjadi penghuni syurga mendapat manafaat daripadanya.


Siapa Lelaki Dayus ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

http://www.zaharuddin.net/content/view/546/95/


Jika sebelum ini saya menulis dua artikel berkenaan aurat dan wanita. Saya juga telah mendedahkan satu email yang mengandungi artikel berkenaan bahaya nafsu lelaki dan sebagai pengetahuan am buat para wanita. Walaubagaimanapun, tidak memadai info-info tersebut tanpa menyentuh satu lagi bab yang amat berkaitan dengannya.


Bab berkenaan suami dan tanggungjawab mereka terhadap isteri mereka dan anak-anak perempuan mereka.


Sebenarnya, bab ini agak panjang kerana terlalu banyak tanggung jawab suami dan ayah terhadap ahli keluarganya. Cuma bagi memudahkan kefahaman, tulisan ringkas ini akan fokus kepada satu isu terlebih dahulu. Iaitu siapa itu lelaki dayus yang dimaksudkan oleh Nabi SAW tidak akan masuk syurga.


Nabi SAW bersabda:


ثلاثة لا ينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة: العاق لوالديه، والمترجلة، والديوث. رواه أحمد والنسائي


Ertinya: Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat: Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki DAYUS. (Riwayat Ahmad & An-Nasaie: al-Albani mengesahkannya Sohih: Ghayatul Maram, no. 278)


Dalam sebuah hadith lain pula:


ثلاثةٌ قد حَرّمَ اللهُ - تَبَارَكَ وَتَعَالَى - عليهم الجنةَ : مُدْمِنُ الخمر ، والعاقّ ، والدّيّوثُ الذي يُقِرُّ في أَهْلِهِ الخُبْثَ . رواه أحمد والنسائي .


Ertinya: Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga: orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan Si Dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya. (Riwayat Ahmad)


Malah banyak lagi hadith-hadith yang membawa makna yang hampir dengan dua hadith ini. Secara ringkasnya, apakah dan siapakah lelaki dayus?


ERTI DAYUS

suami tiada kuasa?Dayus telah disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadith yang lain iaitu:


1) Sabda Nabi:


وعن عمار بن ياسر عن رسول الله قال ثلاثة لا يدخلون الجنة أبدا الديوث والرجلة من النساء والمدمن الخمر قالوا يا رسول الله أما المدمن الخمر فقد عرفناه فما الديوث قال الذي لا يبالي من دخل على أهله


Ertinya: Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW berkata: "Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu Si DAYUS, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak." Lalu sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu DAYUS?, berkata Nabi: "IAITU ORANG YANG TIDAK MEMPERDULIKAN SIAPA YANG MASUK BERTEMU DENGAN AHLINYA (ISTERI DAN ANAK-ANAKNYA)". (Riwayat At-Tabrani; Majma az-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat)


Dari hadith di atas, kita dapat memahami bahawa maksud lelaki DAYUS adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh sebarangan lelaki lain.


2) Pernah juga diriwayatkan dalam hadith lain, soalan yang sama dari sahabat tentang siapakah dayus, lalu jawab Nabi:


قالوا يا رسول الله وما الديوث قال من يقر السوء في أهله


Ertinya: Apakah dayus itu wahai Rasulullah? Jawab Nabi: Iaitu seseorang (lelaki) yang membiarkan kejahatan (zina, buka aurat, bergaul bebas) dilakukan oleh ahlinya (isteri dan keluarganya)


Penerangan Ulama Tentang Lelaki Dayus


Jika kita melihat tafsiran oleh para ulama berkenaan istilah Dayus, ia adalah seperti berikut:


هو الذي لا يغار على أهله


Ertinya: Seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya). (An-Nihayah, 2/147; Lisan al-Arab, 2/150)


Imam Al-‘Aini pula berkata: "Cemburu lawannya dayus" ('Umdatul Qari, 18/228)


Berkata pula An-Nuhas:


قال النحاس هو أن يحمي الرجل زوجته وغيرها من قرابته ويمنع أن يدخل عليهن أو يراهن غير ذي محرم


Ertinya: Cemburu (iaitu lawan kepada dayus) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya dari ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram. (Tuhfatul Ahwazi, 9/357)


Disebut dalam kitab Faidhul Qadir:


فكأن الديوث ذلل حتى رأى المنكر بأهله فلا يغيره


Ertinya: Seolah-olah takrif dayus itu membawa erti kehinaan (kepada si lelaki) sehingga apabila ia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan ahli keluarganya ia tidak mengubahnya. (Faidhul Qadir, 3/327)


Imam Az-Zahabi pula berkata:


فمن كان يظن بأهله الفاحشة ويتغافل لمحبته فيها فهو دون من يعرس عليها ولا خير فيمن لا غيرة فيه


Ertinya: Dayus adalah sesiapa yang menyangka (atau mendapat tanda) bahawa isterinya melakukan perkara keji (seperti zina) maka ia mengabaikannya kerana CINTAnya kepada isterinya, maka tiada kebaikan untuknya dan tanda tiada kecemburuan (yang diperlukan oleh Islam) dalam dirinya. (Al-Kabair, 1/62)


Imam Ibn Qayyim pula berkata:


قال ابن القيم وذكر الديوث في هذا وما قبله يدل على أن أصل الدين الغيرة من لا غيرة له لا دين له فالغيرة تحمي القلب فتحمى له الجوارح فترفع السوء والفواحش وعدمها يميت القلب فتموت الجوارح فلا يبقى عندها دفع البتة


Ertinya: Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat (protective) atau kecemburuan (terhadap ahli keluarga), dan barangsiapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga terjauh dari kejahatan dan perkara keji, tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota (terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.


Dayus adalah dosa besar


Ulama Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar:


لَعَنَ اللَّهُ الدَّيُّوثَ (وَاللَّعْنُ مِنْ عَلَامَاتِ الْكَبِيرَةِ فَلِهَذَا وَجَبَ الْفِرَاقُ وَحَرُمَتْ الْعِشْرَةُ)


Ertinya: Allah telah melaknat lelaki dayus (laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu dari isterinya dan diharamkan bergaul dengannya). (Matalib Uli Nuha, 5/320)


Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang terpakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki ini.


Petikan ini pula menunjukkan lebih dahsyatnya takrifan para ulama tentang erti dayus dan istilah yang hampir dengannya:


والقواد عند العامة السمسار في الزنى


Ertinya: Al-Qawwad (salah satu istilah yang disama ertikan dengan dayus) di sisi umum ulama adalah broker kepada zina. (Manar as-Sabil, 2/340, Rawdhatul Tolibin, 8/186)


Imam Az-Zahabi menerangkan lagi berkenaan perihal dayus dengan katanya:


الديوث وهو الذي يعلم بالفاحشة في أهله ويسكت ولا يغار وورد أيضا أن من وضع يده على امرأة لا تحل له بشهوة


Ertinya: Dayus, iaitu lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan ia sekadar senyap dan tiada rasa cemburu (atau ingin bertindak), dan termasuk juga ertinya adalah sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang tidak halal baginya dengan syahwat. (Al-Kabair, 1/45)


Cemburu Dituntut Islam & Jangan Marah


Ada isteri yang menyalahkan suami kerana terlalu cemburu, benar cemburu buta memang menyusahkan, memang dalam hal suami yang bertanya isteri itu dan ini menyiasat, saya nasihatkan agar isteri janganlah memarahi suami anda yang melakukan tindakan demikian dan jangan juga merasakan kecil hati sambil membuat kesimpulan bahawa suami tidak percaya kepada diri anda. Kerap berlaku, suami akan segera disalah erti sebagai ‘tidak mempunyai kepercayaan' kepada isteri.


Sebenarnya, kita perlu memahami bahawa ia adalah satu tuntutan dalam Islam dan menunjukkan anda sedang memiliki suami yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya.


Selain itu, bergembiralah sang suami yang memperolehi isteri solehah kerana suami tidak lagi sukar untuk mengelakkan dirinya dari terjerumus dalam lembah kedayusan. Ini kerana tanpa sebarang campur tangan dan nasihat dari sang suami, isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.


Nabi SAW bersabda:


من سعادة ابن آدم المرأة الصالحة


Ertinya: Dari tanda kebahagian anak Adam adalah memperolehi wanita solehah (isteri dan anak). (Riwayat Ahmad, no. 1445, 1/168)


Memang amat beruntung, malangnya tidak mudah memperolehi isteri solehah di zaman kehancuran ini, sebagaimana sukarnya mencari suami yang tidak dayus. Sejak dulu, agak banyak juga email dari pelbagai golongan muda kepada saya menyebut tentang keterlanjuran mereka secara 'ringan' dan 'berat', mereka ingin mengetahui cara bertawbat.


'Ringan-ringan' Sebelum Kahwin


Jika seorang bapa mengetahui 'ringan-ringan' anak dan membiarkannya, ia dayus. Ingin saya tegaskan, seorang wanita dan lelaki yang telah 'ringan-ringan' atau 'terlanjur' sebelum kahwin di ketika bercinta, tanpa tawbat yang sangat serius, rumah tangga mereka pasti goyah. Kemungkinan besar apabila telah berumah tangga, si suami atau isteri ini akan terjebak juga dengan 'ringan-ringan' dengan orang lain pula.


Hanya dengan tawbat nasuha dapat menghalangkan aktiviti mungkar itu dari melepasi alam rumah tangga mereka. Seterusnya, ia akan merebak pula kepada anak-anak mereka, ini kerana benih 'ringan-ringan' dan 'terlanjur' ini akan terus merebak kepada zuriat mereka. Awas..!!


Dalam hal ini, semua suami dan ayah perlu bertindak bagi mengelakkan diri mereka jatuh dalam dayus. Jagalah zuriat anda.

Suami juga patut sekali sekala menyemak hand phone isteri, beg isteri dan lain-lain untuk memastikan tiada yang diragui. Mungkin ada isteri yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan tertangkap jua. Saya tahu, pasti akan ada wanita yang kata.


"habis, kami ini tak yah check suami kami ke ustaz?"


Jawabnya, perlu juga, cuma topik saya sekarang ni sedang mencerita tanggung jawab suami. Maka perlulah saya fokus kepada tugas suami dulu ye.


Cemburu seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka demi menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anaknya.


Diriwayatkan bagaimana satu peristiwa di zaman Nabi:


قَالَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ : لَوْ رَأَيْتُ رَجُلاً مَعَ امْرَأَتِي لَضَرَبْتُهُ بِالسّيْفِ غَيْرُ مُصْفِحٍ عَنْهُ ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللّهِ صلى الله عليه على آله وسلم فَقَالَ : أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ ؟ فَوَ الله لأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ ، وَالله أَغْيَرُ مِنّي ، مِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ الله حَرّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَن.

Ertinya: Berkata Ubadah bin Somit r.a.: "Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedangku", maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa'ad tadi, lalu Nabi memberi respon: "Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa'ad?, Demi Allah, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah Allah lebih cemburu dariku, kerana kecemburuan Allah itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang ternyata dan tersembunyi." (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)


Lihat betapa Allah dan RasulNya inginkan para suami dan ayah mempunyai sifat protective kepada ahli keluarga dari melakukan sebarang perkara keji dan mungkar, khasnya zina.


BILA LELAKI MENJADI DAYUS?


Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila:


  1. Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.
  2. Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.
  3. Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.
  4. Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.
  5. Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'spoting' yang memahami.
  6. Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.
  7. Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.
  8. Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?. Tidak sekali-sekali.
  9. Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.
  10. Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktoraf oleh Islam seperti menyelematkannya dari lemas dan yang sepertinya.
  11. Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.
  12. Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.
  13. Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.
  14. Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.


Terlalu banyak lagi jika ingin saya coretkan di sini. Kedayusan ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya, adapun jika berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit 'dayus' kepada dirinya.


Mungkin kita akan berkata dalam hati:


"Jika demikian, ramainya lelaki dayus di kelilingku"


Lebih penting adalah kita melihat, adakah kita sendiri tergolong dalam salah satu yang disebut tadi.


Awas wahai lelaki beriman... jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini.


Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori DAYUS yang tiada ruang untuk ke syurga Allah SWT.


Sayangilah dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.


Akhirnya, wahai para suami dan ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian kerananya. Nabi SAW bersabda:


من قتل دون أهله فهو شهيد


Ertinya: "Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid." (Riwayat Ahmad, Sohih menurut Syeikh Syuaib Arnout)


Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/