Listen to Quran
2:43 PM

KHUSYUK dan THUMA'NINAH DALAM SOLAT


KHUSYUK dan THUMA'NINAH  DALAM SOLAT

Waktu solat adalah waktu singkat yang sangat berharga bagi seseorang muslim, kerana dia sedang menghadap dan bermunajat kepada Rabbnya yang Maha Tinggi dan Maha Agung, oleh kerana itu hendaknya setiap dari kita berusaha untuk meninggalkan segala kesibukan duniawi dan menghadapkan wajah kita kepada Allah dengan penuh khusuk dan tunduk mengharapkan keredaan-Nya, akan tetapi banyak diantara kita yang merasakan hilangnya atau berkurangnya khusyu dalam solat kita, dan hal itu depangaruhi oleh banyak faktor, diantaranya adalah:
  • Kerana kita tidak memahami makna doa-doa dan bacaan yang ada dalam solat.
  • Tidak merenungi isi dan kandungan solat kita.
  • Banyaknya beban fikiran atau urusan yang belum diselesaikan ketika kita hendak melakukan solat.
  • Tidak menghadirkan hati dan jiwa kita ketika mulai takbiratul ihram sehingga fikiran kita melayang kemana-mana dan memikirkan hal-hal di luar solat.
  • Tidak menghadirkan kesedaran kita bahawa kita sedang berdiri di hadapan Allah swt yang Maha Agung.
  • Diamping itu kita juga sering tidak thuma'ninah (tenang) dalam melakukan solat, padahal itu termasuk kesalahan besar yang disebut oleh Rasulullah saw, sebagai sebuah pencurian, bahkan pencurian terbesar adalah pencurian dalam solat.
Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud: “Sejahat-jahatnya pencuri adalah orang yang mencuri dalam solatnya", mereka bertanya: “Bagaimana ia mencuri dalam solatnya?" Beliau menjawab: "(Ia) tidak menyempurnakan ruku’ dan sujudnya". (Hadits riwayat Imam Ahmad, 5/ 310 dan dalam Sahihul Jami ’ hadits no: 997.)

Meninggalkan thuma’ninah [diam beberapa saat setelah tenangnya anggota-anggota badan, para ulama memberi batasan minima dengan lama waktu yang diperlukan ketika membaca tasbih. Lihat Fiqhus Sunnah, Sayyid Sabiq: 1/ 124 (pent)], tidak meluruskan dan mendiamkan punggung sesaat ketika ruku’ dan sujud, tidak tegak ketika bangkit dari ruku’ serta ketika duduk di antara dua sujud, semuanya merupakan kebiasaan yang sering dilakukan oleh sebahagian besar kaum muslimin.

Bahkan hampir bisa dikatakan, tak ada satu masjid pun kecuali di dalamnya terdapat orang-orang yang tidak thuma’ninah dalam solatnya.

Thuma’ninah adalah rukun solat, tanpa melakukannya solat menjadi tidak sah. Ini adalah persoalan yang sangat serius. Rasulullah saw bersabda, maksudnya: “Tidak sah solat seseorang, sehingga ia menegakkan (meluruskan) punggungnya ketika ruku’ dan sujud". (Hadits riwayat Abu Daud; 1/ 533, dalam Sahihul Jami', hadits no: 7224)

Tak diragukan lagi, ini suatu kemungkaran, pelakunya harus dicegah dan diperingatkan akan ancamannya.

Abu Abdillah Al Asy ’ari ra. berkata: “(suatu ketika) Rasulullah saw solat bersama sahabatnya, kemudian beliau duduk bersama sekelompok dari mereka. Tiba-tiba seorang laki-laki masuk masjid dan berdiri menunaikan solat. Orang itu ruku’ lalu sujud dengan cara mematuk [Sujud dengan cara mematuk maksudnya: Sujud dengan cara tidak menempelkan hidung ke lantai, dengan kata lain, sujud itu tidak sempurna, sujud yang sempurna adalah sebagaimana disebutkan dalam hadits Ibnu Abbas ra bahawasanya dia mendengar Nabi saw bersabda, yang bermaksud: “Jika seseorang hamba sujud maka ia sujud dengan tujuh anggota badan(nya), wajah, dua telapak tangan, dua lutut dan dua telapak kakinya”. (HR. Jama'ah, kecuali Bukhari, lihat Fiqhus Sunnah, Sayyid Sabiq: 1/ 124)] maka Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud: “Apakah kalian menyaksikan orang ini?, barang siapa meninggal dunia dalam keadaan seperti ini (solatnya), maka dia meninggal dalam keadaan di luar agama Muhammad. Ia mematuk dalam solatnya sebagaimana burung gagak mematuk darah. Sesungguhnya perumpamaan orang yang solat dan mematuk dalam sujudnya bagaikan orang lapar yang tidak makan kecuali sebutir atau dua butir kurma, bagaimana ia bisa merasa cukup (kenyang) dengannya". (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah dalam kitab Sahihnya: 1/ 332, lihat pula Sifatus Salatin Nabi, oleh al-Albani hal: 131.)

Zaid bin Wahb rahimahullah berkata: "Hudzaifah pernah melihat seorang lelaki tidak menyempurnakan ruku’ dan sujudnya, dia lalu berkata: "Kamu belum solat, seandainya engkau mati (dengan membawa shalat seperti ini), nescaya engkau mati di luar fitrah (Islam) yang sesuai dengan fitrah diciptakannya Muhammad ".

Orang yang tidak thuma’ninah dalam solat, sedang ia mengetahui hukumnya, maka wajib baginya mengulangi solatnya ketika itu sahaja dan bertaubat atas solat-solat yang dia lakukan tanpa thuma’ninah pada masa-masa lalu.

Ia tidak wajib mengulangi solat-solatnya di masa lalu, berdasarkan maksud hadits: “Kembalilah, dan solatlah, sesungguhnya engkau belum solat".

BAGAIMANA CARA AGAR KITA DAPAT KHUSYUK DAN THUMA'NINAH?

Ada beberapa cara yang mungkin kita bisa lakukan agar kita mendapat khusyuk dalam solat kita, dan dapat merenungi makna dan kandungan doa-doa kita dalam solat, serta menjauhkan godaan dan bisikan syaitan yang merosakkan solat kita, hal-hal tersebut diantaranya adalah:

• Merasakan keagungan Allah dan menghadirkan segenap perasaan kita ketika hendak atau sedang melakukan solat. Ketika kita mengatakan "الله أكبر" (Allah Maha Besar), maka dibenak kita tidak ada yang lebih besar dari-Nya, dan meninggalkan seluruh urusan duniawi di belakang kita, kita juga harus tahu bahawa tidaklah ada bagi seseorang dari pahala solatnya kecuali sesuai dengan apa yang ia sedari dan ia mengerti darinya, dengan kata lain jika kita lalai di tengah-tengah solat kita dan tidak menyedari apa yang sedang kita baca, maka kita tidak akan memperoleh apa-apa dari solat kita.

Oleh kerana itu, ketika kita solat hendaknya kita konsentrasi penuh untuk menjaga kesinambungan hubungan kita dengan Pencipta dan terus berusaha untuk memahami dan menghayati doa dan bacaan-bacaan yang kita lantunkan semasa solat.

• Mengikhlaskan niat hanya untuk Allah semata. Kerana semua amal perbuatan kita tergantung kepada niatnya.

• Memperbanyak istighfar dan memohon ampun kepada Allah, kerana dengan banyak beristighfar hati kita akan bersih dan tenang, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam, bahawa beliau beristighfar dalam sehari semalam tidak kurang dari tujuh puluh kali.

• Meninggalkan maksiat. Kerana ia menyebabkan kegundahan dan meninggalkan noda dihati.

• Memohon perlindungan kepada Allah daripada gangguan syaitan dan godaannya.

• Banyak berdoa kepada Allah, kerana ia adalah senjata setiap muslim, mohonlah agar dimudahkan untuk menjalani ketaatan kepada-Nya dan dijauhkan dari fitnah dan cubaan baik yang nampak mahupun yang tidak nampak.

Jika kita mengikuti dan mempraktikkan langkah-langkah ini, insya Allah kita akan dimudahkan untuk mendapat khusyuk dalam solat dan semua ibadah kita.

Adapun thuma'ninah dapat kita lakukan jika kita bisa tenang dan tidak tergesa-gesa dalam melakukan solat, setiap gerakan dan perpindahan dari satu posisi ke posisi lain kita lakukan dengan tenang dan perlahan serta tidak tergesa-gesa, terutama ketika ruku', i'tidal (bangkit dari ruku'), sujud, dan duduk di antara dua sujud. Ketika kita ruku', punggung harus lurus dengan tidak menunduk atau naik ke atas, tetapi posisi punggung dan kepala rata ke depan, bahkan diriwayatkan bahawa Rasulullah ketika ruku' seandainya di atas punggung beliau ditaruh bejana berisi air ia tidak tumpah. Sedangkan ketika bangkit dari ruku' kita harus sampai berdiri tegak baru turun untuk sujud, dan tidak boleh tergesa-gesa turun sebelum kita benar-benar berdiri tegak lurus seperti ketika berdiri membaca al-Fatihah. Thuma'ninah merupakan rukun solat yang jika kita tinggalkan maka solat kita tidak sah dan wajib diulang.

Disusun oleh: Fahd At Tuwim
islamhouse.com

11:20 AM

Menyerikan Kehidupan Dengan Hadis Rasulullah S.A.W.

Menyerikan Kehidupan Dengan Hadis Rasulullah S.A.W.

عَنْ زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا حَدِيثًا فَحَفِظَهُ حَتَّى يُبَلِّغَهُ فَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ إِلَى مَنْ هُوَ أَفْقَهُ مِنْهُ وَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ لَيْسَ بِفَقِيهٍ

Daripada Zaid bin Thabit katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 
"Semoga Allah menyinari seseorang yang mendengar sesuatu hadis daripada kami lalu dia menyampaikannya mengikut apa yang didengari. Maka betapa ramai orang yang membawa ilmu lalu menyampaikannya kepada orang yang lebih faham daripadanya dan berapa ramai orang yang membawa ilmu tetapi ia tidak memahaminya." (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Hadis ini menunjukkan kelebihan menyebarkan ilmu hadis iaitu kehidupan akan menjadi berseri dan bercahaya. Kata Sufyan bin`Uyainah: "Tidak ada seorangpun dari kalangan ahli Hadis melainkan pada wajahnya ada sinar berdasarkan kepada hadis ini." (al-Suyuti, Tadrib al-Rawi Syarh Taqrib al-Nawawi, hal. 360)

Rasulullah s.a.w. mendoakan khusus untuk umatnya yang melibatkan diri dengan pengajian hadis. Tidak ada doa yang dapat menandingi doa baginda kerana ia pasti diterima.

عن ابن عباس قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: اللهم ارحم خلفاءنا »، قلنا: يا رسول الله، وما خلفاؤكم؟ قال : « الذين يأتون من بعدي، يروون أحاديثي وسنتي، ويعلمونها الناس

Daripada Ibn ‘Abbas katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ya Allah, rahmatilah khalifah-khalifah kami." Kami bertanya. "Siapakah khalifah-khalifahmu?" Baginda menjawab: "Mereka yang datang selepasku dan meriwayatkan hadis-hadisku dan sunnahku serta mengajarkannya kepada orang ramai." (hadis riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat)

Doa dalam hadis pertama dengan seri dan cahaya manakala dalam hadis kedua doa dengan mendapat rahmat daripada Allah.

Ilmu hadis adalah ilmu yang mulia kerana ia merupakan penghubung antara kita dengan Rasulullah s.a.w. Segala perkara yang berkaitan dengan Rasulullah s.a.w. sama ada ucapan, perbuatan, pengakuan dan sifat akan diketahui bagi sesiapa yang melibatkan diri dengan ilmu hadis. Dengan mempelajari ilmu ini, kita dapat mengenal pasti kesahihan sesuatu perkara yang dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w. Sebaliknya, jika tidak ada ketelitian dan kecermatan, pasti akan mendapat ancaman dan amaran daripada baginda.

عَنْ حَفْصِ بْنِ عَاصِمٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Daripada Hafs bin ‘Asim katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: 
"Cukup bagi seseorang itu sebagai pendusta dengan menceritakan apa sahaja yang dia dengar". (Riwayat Muslim dan Abu Daud)

عَنْ الْمُغِيرَةِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Daripada al-Mughirah katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya berdusta atas namaku bukan seperti berdusta atas nama salah seorang kamu. Maka sesiapa dengan sengaja berdusta atas namaku, hendaklah dia menyediakan tempatnya di dalam neraka". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain itu, hadis di atas juga mengisyaratkan beberapa kaedah yang mesti dijaga dalam periwayatan hadis. Pertama, memastikan kesahihan berita yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Bukanlah setiap yang dikaitkan dengan baginda boleh diterima terus tanpa diselidiki. Ia mestilah dikaji dan dinilai mengikut kaedah riwayah dan dirayah.

Kedua, mendengar dengan penuh perhatian supaya lafaz asal dijaga dan diingati. Setiap lafaz perlu diteliti kerana kesilapan lafaz boleh membawa kepada perubahan makna yang membawa kepada berlakunya tashif. Tashif adalah kesilapan yang dilakukan oleh perawi dalam menerima dan menyampaikan hadis yang menyebabkan hadis menjadi dha`if.

Ketiga, setiap hadis yang dipelajari mestilah disampaikan kerana di kalangan yang mendengar itu ada yang mempunyai kefahaman yang lebih dan hadis itu dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Kefahaman tentang hadis termasuklah mengkaji dan merenung maksud-maksudnya serta menyimpulkan hukum dan pengajaran daripadanya. Seseorang yang mempelajari hadis akan sentiasa menyesuaikan dirinya dengan sunnah dan petunjuk Rasulullah s.a.w. Dia menyedari bahawa setiap aspek kehidupannya akan ada kaitan dengan Rasulullah s.a.w. Ini kerana keperibadian Rasulullah s.a.w. bukan setakat rasul membawa risalah Allah tetapi meliputi tanggungjawab sebagai guru, pendidik, pemimpin, hakim, panglima tentera, ketua keluarga, suami, bapa, datuk, jiran tetangga, sahabat kepada temannya. Justeru, amat wajarlah, kita mempelajari sunnah Rasulullah s.a.w. kerana tugas hidup setiap individu tidak terlepas satupun daripada aspek di atas. Berdasarkan kepada hakikat inilah Allah s.w.t. menitahkan kepada kita supaya menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai suri teladan.


Mengapa kehidupan bercahaya dengan hadis-hadis Rasulullah s.a.w.?

Rasulullah s.a.w. sendiri adalah cahaya. Allah s.w.t. menyifatkan baginda sebagai cahaya petunjuk dan juga pembawa rahmat. Pengutusan baginda bersifat dengan cahaya lantaran al-Qur’an yang baginda diperintahkan supaya menjelaskannya kepada umat adalah cahaya. Allah s.w.t. berfirman:

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ قَدْ جَاءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ كَثِيرًا مِمَّا كُنْتُمْ تُخْفُونَ مِنَ الْكِتَابِ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ قَدْ جَاءَكُمْ مِنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُبِينٌ. يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad, s.a.w) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci dan Dia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.

Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus. (al-Maidah 15-16)

Lafaz-lafaz hadis yang dibaca dan didengar lalu diulang-ulang akan menghasilkan pancaran cahaya dalam kehidupan seseorang. Mengapa tidak berlaku demikian sedangkan tugas Rasulullah s.a.w. adalah untuk menjelaskan maksud al-Qur’an yang datang dari Allah yang memberikan cahaya kepada alam semesta. Dialah yang menciptakan cahaya dan dari-Nya datangnya cahaya itu.

Sejarah mencatatkan pengalaman ulama hadis yang hidup mereka sentiasa diberkati Allah kerana seluruh hidup mereka diabadikan untuk mengumpulkan hadis-hadis dan menghuraikannya. Walaupun hidup dalam keadaan kesukaran dan kesempitan, hati mereka sentiasa tenang. Tidak lain dan tidak bukan kerana yakin, mengharapkan dan menanti ganjaran pahala di akhirat.

(Syarah hadis disediakan oleh Ust Muhammad Hanief Awang Yahya untuk www.darulkautsar.com)